GURINDAM DUA BELAS*

http://forum-sastra-lamongan.blogspot.com/
Raja Ali Haji

barang siapa mengenal Allah
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah

barang siapa mengenal diri
maka telah mengenal akan tuhan yang bahari

barang siapa meninggalkan zakat
tiada hartanya beroleh berkat

apabila terpelihara lidah
niscaya dapat daripadanya faedah

hati itu kerajaan di dalam tubuh
jikalau zalim segala anggota pun rubuh

mengumpat dan memuji hendaklah pikir
disitulah banyak orang yang tergelincir

jika sedikit pun berbuat bohong
boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

bakhil jangan diberi singgah
itulah perompak yang sangat gagah

jika hendak mengenal orang berbangsa
lihat kepada budi dan bahasa

jika hendak mengenal orang mulia
lihat kepada kelakuan dia

jika hendak mengenal orang yang berilmu
bertanya dan belajar tiadalah jemu

cahari olehmu akan guru
yang boleh tahukan tiap seteru

apabila banyak berkata-kata
disitulah jalan masuk dusta

apabila kita kurang siasat
itulah tanda pekerjaan hendak sesat

apabila anak tidak dilatih
jika besar bapanya letih

apabila banyak mencatat orang
itulah tanda dirinya kurang

apabila orang yang banyak tidur
sia-sia sahajalah umur

apabila perkataan yang lemah lembut
lekaslah segala orang mengikut

apabila perkataan yang amat kasar
lekaslah orang sekalian gusar

lidah suka membenarkan dirinya
daripada yang lain dapat kesalahannya

daripada memuji diri hendaklah sabar
biar daripada orang datangnya khabar

keaiban orang jangan dibuka
keaiban diri hendaklah sangka

jika orang muda kuat berguru
dengan syaitan jadi berseteru

hendaklah berjasa
kepada yang sebangsa

hendaklah jadi kepala
buang perangai yang cela

hendak memegang amanat
buanglah khianat

hendak marah
dahulukan hujjah

*) dari kumpulan puisi Antologia De Poeticas, gramedia 2008

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *