Membaca Filsafat modern: dari Machiavelli sampai Nietzsche


Filsafat modern: dari Machiavelli sampai Nietzsche
oleh F. Budi Hardiman
Jakarta: Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama, 2004
Halaman 312. ISBN: 979-22-1043-1
Peresensi : Mohammad Fazril Mohd Saleh *

…membaca sejarah filsafat tidak sama dengan membaca sejarah biasa. Filsafat bukanlah ilmu biasa yang puas dengan fakta, melainkan terus berupaya untuk mengetahui hal-hal di seberang fakta.” – F. Budi Hardiman

Falsafah Sebagai Seni, Falsafah Moden Sebagai Seni Moden

Karya ini lahir daripada bahan-bahan pengajaran dalam kuliah pengarang di Sekolah Tinggi Filsafat Driyarkara Jakarta. Perbahasan dalam buku ini meliputi empat abad, dengan fokus khusus kepada para failasuf (ahli falsafah) Eropah dan pemikiran mereka yang ternyata rencam dan pelbagai.

Sudah semestinya membaca falsafah dan sejarahnya menuntut ketekunan. Ia tidak semudah membaca akhbar atau buku cerita. Walaupun begitu, pengarang buku ini, F. Budi Hardiman, boleh dikatakan berjaya memberi ruang kepada para pembaca untuk cuba memahami sejarah falsafah moden Barat melalui fakta dan maklumat yang beliau paparkan dalam buku ini. Gaya penulisannya bersifat deskriptif. Beliau memaparkan falsafah Barat moden mengikut zaman dan setiap zaman ditonjolkan pemikiran falsafahnya melalui tokoh-tokoh tertentu.

Menurut F. Budi Hardiman, membaca karyanya ini umpama suatu pengembaraan. Beliau mengajak pembaca mengembara ke alam pemikiran falsafah sepanjang tempoh empat abad. Buku dengan 312 halaman ini sudah pasti tidak mampu memuatkan kesemua maklumat yang berkaitan secara terperinci. Akan tetapi, kehadiran buku ini sudah cukup bermakna bagi mereka yang baharu ingin memulakan pengkajian ataupun pembacaan berkaitan falsafah moden kerana ia disusun secara ringkas tetapi informatif.

Beliau menegaskan: “filsafat bukanlah ilmu biasa yang puas dengan fakta, melainkan terus berupaya untuk mengetahui hal-hal yang di seberang fakta”. Oleh yang demikian, beliau telah menggariskan beberapa tips seperti yang beliau nyatakan dalam permula “Petunjuk Penerbangan ke Alam Filsafat” (hlm. xiii), sebagai panduan untuk memulakan pembacaan: (i) Pembaca harus jadi ‘pemula’, kerana hanya dengan menjadi pemula akan membangkitkan rasa hairan dan takjub untuk mengetahui, dan itulah permulaan falsafah; (ii) Pembaca tidak boleh percaya begitu sahaja apa-apa informasi yang diterima. Segalanya harus ditanya dan dipersoalkan sehingga sedalam-dalamnya; (iii) Pembaca harus meninggalkan ciri-ciri konkrit yang dilihat pada sesuatu dan mencari ciri-ciri umum daripadanya; (iv) Pembaca perlu mencari titik pangkal kepada segala sesuatu yang diamati; dan (v) Pembaca perlu berfikir secara komprehensif tanpa memisahkan suatu bahagian yang khusus dengan bahagian khusus yang lain. Kesemuanya harus dilihat sebagai jalinan kesatuan yang komprehensif. Mungkin inilah ‘seni’ bagi falsafah.

Pengantar Falsafah Moden Barat

Karya ini ditulis dalam Bahasa Indonesia dan diterbitkan oleh Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama. Ini merupakan buku ketujuh yang diusahakan oleh penulisnya, Budi Hardiman. Dalam buku ini juga disertakan satu sisipan khas graf garis masa riwayat hidup tokoh-tokoh yang beliau paparkan dalam tulisannya. Terdiri daripada 10 bab, buku ini bukan sekadar menyajikan riwayat hidup para ahli falsafah, tetapi juga produk pemikiran mereka. Bermula dengan Machiavelli, diikuti Bruno, F. Bacon, Decartes, Spinoza, Leibniz, Pascal, Hobbes, Locke, Berkeley Hume, sampai kepada perbahasan tentang aliran falsafah Inggeris, Perancis, Jerman, Romatisisme, Idealisme, postivisme dan pesimisme. Tokoh terakhir yang dibicarakan dalam karya ini adalah Nietzche.

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang falsafah Barat, F. Budi Hardiman memulakan bab awal dalam buku ini dengan pengenalan berjudul “Awal Zaman Modern dan Semangat Filsafat Modern” (hlm. 1-12). Beliau berusaha memahamkan pembaca tentang asal mulanya sebuah jangka masa sejarah yang dikenali sebagai ‘moden’. Justeru, beliau meletakkan beberapa prinsip asas yang mencirikan kemodenan itu iaitu subjektiviti, kritik dan kemajuan. Oleh yang demikian, zaman yang dipanggil moden itu mengagungkan individu berbanding kelompok, kritik berbanding dogma, dan kemajuan sebagai hasil daripada keyakinan subjektiviti dan kritik.

Justeru, apabila membicarakan perihal falsafah moden, kemunculannya ditandai dengan keberanian para ahli falsafah melakukan ‘pemberontakan’ intelektual (hlm. 5). Falsafah moden tidak terhasil dari vacuum. Ia terbentuk daripada proses ‘semangat zaman’ (zeitgeist) pada tempoh tertentu. Falsafah moden dirintis oleh gerakan-gerakan sosio-politik secara berperingkat. Gerakan-gerakan ini sangat kritikal terhadap zaman sebelumnya (zaman Pertengahan di Eropah). Boleh dikatakan, falsafah ‘moden’ adalah seperangkat disiplin ilmu yang wujud bagi menentang pemikiran falsafah ‘tradisional’ Abad Pertengahan (yang tampil dalam bentuk metafizik atau ontologi). Falsafah Thomas Aquinas adalah kemuncak daripada falsafah tradisional Abad Pertengahan ini. Falsafah moden cuba melepaskan diri daripada kongkongan tradisi dan dogma budaya. Walau bagaimanapun, falsafah moden ini sangat rencam dan pelbagai. Tokoh-tokoh ahli falsafah seperti Emanuel Kant, Comte dan Nietzche menyambut gembira penghancuran traditional metaphysics dalam falsafah, tetapi dalam masa yang sama, ahli falsafah moden yang lain seperti Hegel dan Marx pula berusaha mengembalikan metafizik dalam falsafah.

Zeitgeist: Gerakan Humanisme dan Gerakan Reformasi Protestanisme

Dua gerakan penting yang mewarnai permulaan dunia falsafah moden adalah gerakan Reformasi dan gerakan Humanisme. Gerakan Reformasi boleh dianggap sebagai gerakan massa yang bersifat keagamaan dan politikal. Martin Luther (1483-1546) merupakan tokoh yang bertanggungjawab meletuskan fenomena ini. Beliau melakukan protes terhadap gereja Katolik dan mendapat dokongan meluas masyarakat golongan menengah sampai kepada kaum petani. Fenemona pembaharuan agama ini wujud dengan semanagat kritik dan subjektiviti yang kental. Daripada semangat reformasi ‘protestanisme’ ini, munculnya aliran falsafah moden yang dikenal sebagai ‘romatisisme’ pada abad ke-19 yang menekankan aspek perasaan dan iman melebih akal.

Manakala gerakan Humanisme adalah hasil daripada kemunculan zaman Renaisans. Zaman ini ‘ditandai dengan kepercayaan akan kemampuan manusia, hasrat intelektual, dan penghargaan akan disiplin intelektual’ (hlm. 10). Zaman Renaisans melahirkan gerakan Humanisme yang telah memugar kembali khazanah keilmuan Yunani dan Romawi Kuno yang telah berabad-abad lamanya dikuburkan oleh masyarakat Abad Pertengahan bawah pimpinan gereja.

Dalam Bab 2 (“Para Pendobrak di Ambang Modernitas”), riwayat hidup dan pemikiran falsafah tiga orang ahli falsafah moden awal dipaparkan: Niccollo Machiavelli, Giordano Bruno dan Fracis Bacon.  Mereka hidup sekitar abad ke-15 sehingga abad ke-16 dan digolongkan sebagai ahli falsafah paling awal melawan pemikiran falsafah tradisional. Bab 3 (“Di Fajar Rasionalisme Moden”) memaparkan riwayat empat orang ahli falsafah Barat iaitu Rene Decartes yang juga dikenali sebagai bapa falsafah moden, Barusch de Spinoza, Gottfried Wilhelm von Leiniz dan Blaise Pascal. Keempat-empat mereka dikelompokkan dalam golongan aliran rasionalisme. Aliran falsafah yang berlawanan dengan rasionalisme, iaitu aliran empirisisme ditonjolkan dalam Bab 4 (“Para Perintis Empirisisme Moden”) dengan memperkenalkan Thomas Hobbes, John Locke, George Berkeley, dan David Hume. Keempat-empat mereka adalah berbangsa Inggeris (British) dan berpandangan bahawa pengetahuan yang benar harus bersumber daripada pengalaman inderawi (empeiria). Bab 5 (“Optimisme di Zaman Fajar Budi”) pula secara umum berbicara tentang semangat zaman pencerahan (Enlightenment) dalam kalangan ahli falsafah bangsa Eropah: Inggeris, Perancis, Jerman, yang masing-masing mempunyai ciri-ciri unik tersendiri.

Satu bab khusus (Bab 6: “Sintesis Rasionalisme dan Empirisisme”) diperuntukkan bagi membahaskan pemikiran seorang tokoh falsafah dan tokoh pencerahan terkemuka, Emanuel Kant. Menurut penulis, Kant “menghasilkan sebuah cara berfilsafat baru yang menjadi pijakan dalam sejarah selanjutnya” (hlm. 128). Pemikiran falsafah Kant dapat dipusatkan kepada tiga pertanya dasar berikut: (i) Apa yang dapat saya ketahui?; (ii) Apa yang seharusnya saya lakukan?; (iii) Apa yang dapat saya harapkan?”. Pertanyaan pertama dijawab dalam karyanya berjudul Kritik der reinen Vernunft (Critique of Pure Reason), manakala soalan kedua dijawab dalam Kritik der praktischen Vernunft (Critique of Practical Reason), dan soalan dasar ketika dikupas dalam Kritik der Urteilkraft (Critique of Judgement). Dalam karyanya yang mengkritik hebat kelompok falsafah aliran empiris, beliau sebenarnya bermaksud untuk melakukan sintesis antara empirisisme yang mementingkan pengetahuan a prosteriori dengan aliran rasionalisme yang mengutamakan pengetahuan a priori. Falsafahnya juga dikenali sebagai transendentalisme, kritisisme dan proseduralisme. Bab seterusnya membahaskan tentang aliran yang terbentuk daripada legasi Kant dalam dunia kefalsafahan, aliran Idealisme Jerman yang dijuarai oleh tokoh-tokoh seperti Johan Gottlieb Fichtr, Friedrich Wilhelm Joseph Schelling dan Georg Wilhelm Friedrich Hegel. Bab 8 (“Kelahiran Positivisme”) mengangkat gagasan falsafah bapa positivism, Auguste Comte yang telah mengubah lanskap pengkajian sains sosial.

Seterusnya, penulis menyajikan suatu kelompok aliran falsafah yang menentang aliran idealisme. Aliran ini dikenali sebagai ‘pesimisme’. Arthur Schopenhauer, Ludwig Feuerbach, Karl Marx dan Soren Aabye Kierkegaard merupakan antara pemuka aliran pesimisme ini. Akhir sekali, dalam Bab 10, pemikiran nihilisme F.W. Nietzche menutup tirai perbahasan falsafah moden. Bagi penulis, Nietzche, yang terkenal dengan ungkapan “God is dead” itu menduduki tempat tersendiri dalam aliran falsafah moden kera metode dan pengaruhnya yang besar dalam dunia pemikiran abad ke-20 dan ke-21. Beliau boleh dikatakan sebagai pemikir yang bertanggungjawab membuka pintu kepada kelahiran falsafah ‘post-modernisme’ yang diteraju antaranya oleh Martin Heidegger, Richard Rorty dan Jacques Derrida.

Metod Fenomenologi dalam Penulisan Deskriptif

Karya ini adalah sebuah karya ‘berat’ tetapi diringkaskan dan dimudahkan penampilannya agar para pembaca dapat memperoleh sedikit sebanyak pengetahuan tentang falsafah moden. Ia juga dilengkapi dengan nota tepi, anekdot dan gambar bagi menjadikannya lebih ‘berencah’. Sayang sekali, gambar-gambar yang dipaparkan dalam buku ini sangat kecil dan tidak berwarna. Walau bagaimanapun, nota tepi dan anekdot yang disisipkan amat membantu para pembaca dalam memahami sesuatu pemikiran yang dikemukakan.

Kekuatan yang paling ketara dalam karya ini adalah terletak pada metod penulisan yang digunakan. Penulisannya rata-rata bercorak deskriptif, dilakukan secara fenomenologikal iaitu sedaya mungkin menerangkan sesuatu aliran falsafah sebagaimana ia, tanpa dipengaruhi oleh pendirian, pandangan atau penghukuman peribadi. Justeru, para pembaca dapat memahami aliran pemikiran sebagaimana yang dimaksudkan oleh para pendukung aliran falsafah tersebut.

Karya lumayan ini juga dilengkapi dengan “kamus mini” (hlm. 285-306) yang menerangkan beberapa istilah asas dalam bidang falsafah, sebagai menambah kefahaman para pembaca. Tidak dinafikan, membaca karya falsafah seringkas ini pun sebenarnya tidak semudah yang disangka. Walaupun begitu, kepakaran penulis (F. Budi Hardiman) dalam bidang falsafah sangat-sangat membantu para pelajar dan pengkaji yang ingin menekuni subjek ini. Buku ini adalah permulaan yang baik dalam proses ‘pengembaraan’ yang lebih jauh lagi di alam falsafah.
***

*) Mohammad Fazril Mohd Saleh, Akademi Kajian Ketamadunan (AKK).
https://www.facebook.com/notes/fazril-saleh/resensi-filsafat-modern-dari-machiavelli-sampai-nietzsche/10153472360963119/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *