Pasca Diskusi Sastera Sabah Sudah Mati

Dr. Ramzah Dambul
http://ikatan-penulis-sabah2u.blogspot.com/

Wacana sastera semalam berjalan lancar. Dari segi teknikal dan logistik. Dari segi pengisian, saya tidak mau komen. Sebab saya adalah panelnya. Tentu tidak telus (bahkan tidak adil!) kalau kita menghakimi diri sendiri, kan?

Tetapi ada juga rakan yang telah membuat catatan awal tentang acara tersebut: i.e. Hasyuda Abadi. Gambar-gambar pula boleh dinikmati bersama Pena Alam. Lihatlah para panel yang tampan!

i
Rupanya perkataan ‘mati’ telah mengundang rasa tidak senang dalam kalangan beberapa aktivis sastera Sabah. Ia ditanggap sebagai ungkapan yang tiada estetik sastera (mungkin bunyinya terlalu gasar?). Atau kononnya bernada pesimis dan negatif.

Bagi kumpulan individu ini, kata kunci wacana semalam (iaitu ‘mati’) secara umumnya dilihat sebagai destruktif (membinasa), dan bukan konstruktif (membina). Bila ia diguna dalam konteks memperkatakan aspek kesusasteraan Sabah.

Saya fikir itu satu pandangan yang wajar dihormati. Kerana mereka juga adalah sebahagian entiti penting dalam domain sastera Sabah. Tentu sekali buah-fikir itu relevan dan signifikan.

Tetapi saya juga ada pendapat tersendiri. Tentang kontroversi ‘mati’ dalam konteks wacana semalam.

ii
Pertama, saya fikir mentaliti begitu menunjukkan ketidakterbukaan kita kepada kepelbagaian proses menggali ilmu. Kata Plato, cara terbaik untuk mencari kebenaran ialah dengan menyoal.

Tentu sekali nilai tersirat filsuf yang dimaksudkan oleh Plato dengan kata-kata ini bukanlah sekadar ‘menyoal secara basa-basi’. Tetapi melontarkan persoalan yang berbentuk cabaran dan provokasi.

Tidak ada yang negatif atau positif tentang istilah ‘mati’. Ia hanya satu ungkapan neutral. Sama seperti ‘hidup’, ‘lesu’, ‘tenat’ atau sebutlah seribu lagi kosakata yang lain. Itu semua hanya satu kata-kata. Ia tidak membawa sebarang konotasi. Sama ada buruk atau baik.

Yang bakal memberi konteks dan perspektif kepada ‘mati’ (atau apa juga istilah yang dipilih) ialah tindakan kita. Perkataan ‘mati’ dan ‘hidup’, kedua-duanya mempunyai kebarangkalian yang sama tinggi untuk menghasilkan konotasi negatif atau positif.

Bergantung kepada bagaimana kita mengoperasikannya dalam wacana.

iii
Kedua, mati itu sendiri bukan semestinya bersifat mutlak. Ia boleh menjadi satu konsep relatif yang sangat terbuka. Relatif kepada apa? Itulah tugas kreativiti dan daya penilikan kita. Mencari dan menggali asas sandaran kepada ‘mati’ itu. Agar wacana diolah dalam satu satah pandangan yang, jikapun tidak tuntas sepenuhnya, sekurang-kurangnya menuju satu arah yang tidak tersongsang.

Dalam wacana semalam, kecuali pihak yang tidak menyukai istilah ‘mati’ – semua yang lain bersetuju untuk melihat judul wacana sebagai satu persoalan retorik. Ya, sesuatu yang bukan menuntut jawapan atau pembuktian empirikal. Tapi sesuatu yang lebih menuntut penaakulan, penilikan dan perkongsian isu. Saya melihat itu sebagai satu pendekatan yang sangat baik.

Dalam ertikata sebenar-benarnya, tindakan majoriti audien inilah yang dirujuk sebagai “thinking out of the box”. Maksudnya, bila berdepan dengan sesuatu yang secara lahiriahnya provokatif – kita tidak melatah atau melenting. Sebaliknya kita bawa minda kita keluar daripada ‘kotak dogma’ yang kita bina dalam diri sendiri. Kemudian berusaha mencari sudut yang positif untuk memesrai persoalan tersebut.

iv
Transformasi paling penting yang dituntut dalam dunia sastera Sabah (kalau benar kita ghairah berbicara tentang tranformasi): ialah anjakan paradigma. Saya namakan ini proses liberalisasi pemikiran, iaitu membebaskan minda kita daripada sebarang bentuk kongkongan dan sekatan. Maksudnya, kita robohkan semua idealisme yang bersifat ‘personal preference’ (kecenderungan peribadi). Kita harus bersedia untuk menjadi sebahagian entiti penggerak dalam kelompok massa. Tidak mengapa kalau anutan pemikiran kita berbeza. Kita lakukan gerakan dengan cara kita sendiri. Yang penting, kita mesti bersama-sama dalam arus itu. Jangan ada peminggiran dan pengasingan.

Polemik yang provokatif sebenarnya boleh jadi satu elemen yang sangat sihat untuk sastera Sabah. Asalkan saja ia dioperasikan dalam bentuk wacana. Saling menentang dan berlawan, tapi dalam diskusi secara profesional. Apa yang tidak sihat, pada hemat saya, bila kita memilih untuk berlawan dengan tidak ilmiah. Misalnya, memulaukan wacana kerana kita tidak bersetuju dengan polemik yang dibawa.

‘Escapism’ (melarikan diri) adalah sifat dayus paling rendah dalam diri seorang pemikir. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan sesuatu gagasan, kita tidak boleh menjauhi gelanggang. Kerana jika itu berlaku, kekuatan kolektif tidak dapat dipupuk dan dibina. Sebaliknya, kita semua akan menjadi entiti-entiti terpisah yang tidak akan mampu menjana kebangkitan bersama.

Sebagai seorang ahli akademik dan peminat tegar sastera, saya sedikit kecewa dengan situasi ini. Persoalan linguistik dan semantik sekecil begini pun boleh menjadi sedemikian besar. Seolah-olah debat hurufiah diangkat menjadi lebih penting daripada debat tentang isu dan gagasan. Pada fikiran saya, tidak perlu sampai bermain “drama” segadang ini, hanya untuk satu istilah yang remeh.

v
Selagi segregasi, konflik dan keengganan berkompromi (dalam kalangan aktivis) – terus menjadi warna-warna utama dalam dunia kesusasteraan Sabah; maka selagi itu asas sastera negeri ini akan terus kelabu kabut. Penyatuan tidak akan tercapai, dan kekuatan tidak terbina.

Justeru, sastera Sabah berkemungkinan akan terus sukar untuk menjadi releven (dalam konteks memasyarakatkan nilai sepunya), jarang dirujuk (dari segi pembudayaan dan perkongsian ilmu) dan kurang dihormati (dari sudut menarik pengiktirafan pihak yang memegang kuasa pentadbiran).

Kalau ‘asas internal’ pun belum dibangunkan: setegar manakah kita boleh mempersoalkan faktor eksternal, misalnya peranan institusi (badan-badan yang mendokong urus-tadbir dan iltizam politik)? Perubahan dan transformasi itu harus bermula dengan ‘saya’.

Bukan ‘dia’ atau ‘mereka’ atau ‘korang’. Bukankah?

Sumber: http://ikatan-penulis-sabah2u.blogspot.com/2011/05/pasca-diskusi-sastera-sabah-sudah-mati.html